TEKANAN MENTAL DALAM BEKERJA
Bagi individu yang
bekerja, sebahagian besar kehidupan dipenuhi dengan masa bekerja. Peranan di
tempat kerja merupakan satu keutamaan bagi sesetengah golongan yang bekerja,
manakala rumahtangga atau keluarga menjadi keutamaan kedua. Tidak dapat dinafikan
kepentingan pekerjaan bagi seseorang, bukan sekadar faktor ekonomi tetapi pekerjaan
menetapkan status sosial bagi seseorang individu. Oleh itu, kejayaan seseorang
dalam pekerjaannya sering dianggap sebagai satu faktor kejayaan dalam kehidupan.
Sebaliknya kegagalan dalam kerjaya dianggap
kegagalan dalam kehidupan. Masalah yang dihadapi individu di tempat
kerja akan membawa kepada tekanan, kerana pekerjaan merupakan sebahagian besar
kehidupan seseorang individu. Tekanan kerja yang tinggi juga boleh memberi
kesan negatif terhadap hubungan kekeluargaan (Rohany, 2003).
Melalui kajian oleh Mohd
Awang, Dollard dan Wine Field, (2010) mendapati majoriti responden yang dikaji
(77%) bersetuju tekanan dalam pekerjaan telah meningkat baru-baru ini. Menurut
Helvinder (2003) dalam laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat kira-kira 100 juta orang di dunia tertekan
dalam satu-satu masa. Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai ‘penyakit’ abad ke-20 dan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah
Epidemik Dunia.
Bernama Online dalam
laporannya bertarikh 8hb. November 2011 turut melaporkan hampir separuh pekerja
Malaysia bekerja lebih 8 jam sehari dan membawa pulang kerja secara tetap untuk
diselesaikan pada sebelah malam. Situasi sebegini boleh menyebabkan seseorang
berada dalam tekanan dan pastinya banyak implikasi negatif berlaku apabila
seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerja seterusnya bakal memberi kesan
kepada kepada kepuasan kerja.

Terima kasih atas perkongsian
ReplyDelete