COVID-19: ANCAMAN SEKTOR PEKERJAAN


    
           Ketika ini, seluruh dunia sedang memperkatakan tentang wabak yang menakutkan iaitu Covid-19 yang juga dikenali sebagai Novel Coronavirus, 2019 nCoV atau SARS-CoV-2. Wabak ini telah diisytiharkan sebagai pandemik yang telah meragut nyawa di seluruh dunia dan telah membuat kehidupan masyarakat dunia menjadi ketakutan dan kucar-kacir. Virus ini didakwa bermula di sebuah kawasan di Wuhan, China iaitu wilayah Hubei dan telah merebak hingga ke seluruh pelusuk dunia. Pada 31 Disember 2019, pegawai kesihatan China memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai sekumpulan 41 orang pesakit dengan pneumonia misteri. Kebanyakannya berkaitan dengan Pasar Borong Makanan Laut Huanan. Walaupun 41 kes pertama dicatatkan pada ketika itu, para saintis telah menegaskan bahawa virus tersebut mungkin telah mula tersebar dari orang ke orang seawal lewat bulan November 2019. Kerajaan China pada 1 Januari 2019, memerintah Pasar Borong Makanan Laut Huanan ditutup untuk tujuan penyiasatan yang lebih lanjut dan terperinci berkaitan penularan wabak ini.

            Perkara ini juga turut menyebabkan 195 juta orang kehilangan pekerjaan sepenuh masa. Hal ini telah dinyatakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dijangka berlaku pada suku kedua tahun 2020. Pekerja dan peniaga akan menghadapi bencana kegawatan ekonomi dengan berlakunya krisis Coronavirus (Covid-19). Laporan ILO juga melaporkan bahawa lebih dari empat setiap lima orang dalam angkatan pekerja global tinggal di tempat-tempat di mana penutupan tempat kerja penuh dan sebahagian akibat penularan virus Covid-19 ini. Kerugian yang besar dijangka berlaku dalam kumpulan pendapatan yang berbeza setiap pekerja terutamanya negara berpendapatan menengah ke atas. Krisis covid-19 ini juga dijangka dapat menghapuskan 6.7 peratus waktu bekerja di seluruh dunia sehingga bulan Jun ini. Hal ini menyebabkan hampir 195 juta orang kehilangan pekerjaan sepenuh masa yang akan memberi kesan besar kepada pendapatan isi rumah dan negara. Sebanyak 125 juta daripada 195 juta kerugian pekerjaan global dijangkakan pada suku kedua tahun ini yang akan berlaku di rantau Asia Pasifik. Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan bahawa kira-kira 25 juta orang di seluruh dunia boleh kehilangan pekerjaan menjelang akhir tahun 2020 disebabkan kewujudan wabak Covid-19 ini dan mata pencarian kira-kira 1.25 bilion pekerja terancam ekoran wabak Covid-19 ini yang menjadi satu amaran krisis global paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.


Senarai Rujukan
Berita Harian. 2020. Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Kerana Covid-19,’195 Juta Orang Akan Kehilangan Pekerjaan’. 9 April. 

Comments

Popular posts from this blog

MODUL KESEDIAAN KERJAYA BERDASARKAN TEORI COGNITIVE INFORMATION PROCESSING (CIP)

KERJAYA 'KOLAR BAHARU' DI MALAYSIA

PEMBANGUNAN KERJAYA