TEORI KERJAYA HOLLAND




1) Realistik- Orang Jenis Praktikal (Kemahiran Pertukangan Dan Mekanikal)
Antara orang yang jenis pratikal ini memiliki ciri-ciri seperti stabil, natural, maskulin, praktikal, tekun, terus terang, berdikari, fizikal, materealistik, jujur, pemalu, akur, tulen, inventif, normal, berpendirian tetap, cermat, keras hati, berulang-ulang, kurang celik akal. Ciri orang seperti ini lebih meminati aktiviti mekanikal, kerja luar, atletik (sukan), aktiviti manual, benda konkrit (wang, kuasa dan status), bekerja dengan peralatan, tumbuhan, dan haiwan. Namun begitu, golongan yang mempunyai minat dan ciri pratikal ini tidak menyukai aktiviti akademik, aktiviti sosial, pendedahan kendiri, bekerja dengan orang lain. Penglibatan secara lansung dengan aktiviti konkrit, manipulasi objek dapat dilakukan dengan memiliki kebolehan dan kemahiran serta sangat sesuai dalam pekerjaan seperti pembaikan mekanikal, elektrikal, kejuruteraan, mekanik, guru kemahiran hidup, juruteknik, pegawai perikanan, pegawai perhutanan, pegawai mergastua, tukang masak, pereka fesyen, jurufoto, juruukur, penyelam, pemandu, atendan pam minyak, tukang kayu, tukang paip. Orang yang bersifat praktikal ini digalakkan untuk melihat dunia secara mudah dan tradisional.

2) Investigatif - orang jenis menganalisis (saintifik dan teknikal)
Antara ciri-ciri orang yang jenis suka menganalisis sesuatu adalah seperti analitik, intelektual, teliti, ingin tahu, bebas, asli, rasional, pasif, pendiam, kritikal, tepat, pesemistik, berdikari, berhati-hati, cekal, introvert, introspektif, sistematik, radikal, tidak popular. Orang yang memiliki minat terhadap investigatif ini suka melakukan pelbagai aktiviti abstrak dan simbolik, sains dan matematik, pengamatan dan penyelidikan, penyelesaian masalah, bekerja sendirian. Manakala orang yang bersifat investigatif ini tidak menyukai aktiviti sosial, aktiviti berulang-ulang, peraturan yang rigid, memujuk orang lain, bekerja dengan orang lain, kepimpinan. Antara jenis pekerjaan yang bersesuaian dengan orang yang bersifat analisis ini adalah seperti saintis, pakar bedah, penyelidik, psikiatri, ahli kaji cuaca, ahli kaji bumi, ahli kaji bintang, optometris, ahli ekonomi, ahli patologi, jurutera elektrik, pembantu makmal, juruteknik perubatan, penulis rencana, penyunting, ahli antropologi, pengaturcara komputer. Oleh itu, orang yang bersifat analisis ini perlu memupuk kecekapan dan pencapaian saintifik, pemerhatian dan penyiasatan fenomena secara sistematik, ganjaran bernilai saintifik dalam dirinya agar dapat menggalakkan individu tersebut melihat dunia secara kompleks, abstrak, bebas dan semulajadi.

3) Artistik - orang jenis berkarya (seni, muzik dan penulisan)
Antara ciri-ciri orang jenis berkarya adalah seperti seorang yang sensitif, berimaginasi, banyak idea, bebas, lembut, emosi, introspektif, fleksibel, tergesa-gesa, tidak bersistem, berpendirian, kurang bersosial, mudah meluahkan perasaan, suka bersendirian, ekspresif, intuitif, terbuka, idealistik, tidak praktikal. Orang yang memiliki minat terhadap artistik ini suka kepada Kreativiti, idea, situasi, tidak berstruktur, cenderung aktiviti kesusasteraan, bahasa, muzik, drama, seni lukis, puisi, vokalis, penulisan berkarya, isu kemanusiaan, kerja bersendirian. Namun begitu, orang yang bersifat karya ini tidak menyukai kerja-kerja fizikal, situasi berstruktur, kerja perkeranian, perniagaan dan sistem pengurusan dan ppentadbiran, manipulasi data. Antara kerjaya yang sesuai dengan sifat artistic atau karya ini seperti guru bahasa dan sastera, seniman, ahli muzik, pereka fesyen, komposer, penulis skrip, kartunis, pereka grafik, arkitek, pereka tari, pengarah drama/ teater, ppenyair, penyunting filem, juru solek, pelukis, wartawan. Oleh itu, orang yang bersifat artistik ini perlu memupuk kecekapan dan pencapaian dalam seni dan situasi kabur, kerja bebas dan tidak bersistematik. Ganjaran bernilai seni dan menggalakkan individu ini melihat dunia secara kompleks, tidak konvensional dan fleksibel.

4) Sosial - Orang Jenis Sosial (Pendidikan Dan Kebajikan)
Antara ciri-ciri orang yang jenis sosial ini memiliki sikap kerjasama, menolong, rasional, bijaksana, ambil berat, memujuk, prihatin, bertanggunhjawab, peramah, penyabar, baik hati, idealistik, riang, ekstrovert, agresif, memahami orang lain, mudah berinteraksi, suka bergaul, pemurah, kewanitaan. Orang yang memiliki minat terhadap sosial ini suka kepada perhatian, berurusan dengan orang lain, bersosial, menolong, kerja-kerja amal dan kemasyarakatan, perbincangan, pendidikan, menghadiri majlis sosial, aktiviti kebajikan, menunjuk ajar, memikirkan masalah masyarakat. Namun begitu, individu yang memiliki sifat sosial ini tidak menyukai kerja-kerja fizikal, aktiviti luar, kerja dengan peralatan, kerja-kerja terlalu berstruktur, bidang mekanikal dan saintifik. Antara pekerjaan yang bersesuai dengan individu bersifat sosial ini seperti pensyarah, guru, ustaz, ahli politik, jururawat, kaunselor, pegawai kastam, pegawai kebajikan, juruacara, pramugari, ahli psikologi klinikal, diplomat, ahli sosiologi. Oleh itu. orang yang bersifat sosial ini perlu memupuk kecekapan interpersonal, minat dalam memberitahu, melatih, mengubati, menyedarkan orang lain. Ganjaran bernilai sosial dan kemasyarakatan yang turut menggalakkan individu tersebut melihat dunia dan dengan cara yang fleksibel.

5) Enterprising - orang jenis usahawan (pengurusan dan perniagaan)
Antara ciri-ciri orang yang jenis usahawan ini memiliki sikap yang agresif, memujuk, sergas, cita-cita tinggi, ekstrovert, berlagak, bebas, bersungguh- sungguh, suka berbahas, optimistik, yakin, mempengaruhi, menggoda, petah, manipulasi, dominan, kemahiran interpersonal yang baik, kebolehan memimpin, menonjolkan diri, regular, pentingkan diri, maskulin, bermotivasi. Orang yang memiliki minat terhadap usahawan ini suka kepada kuasa, status, mentadbir dan kepimpinan, keuntungan, ekonomi, regular, keseronokan, suka mengambara, bersosial, suka cabaran. Namun begitu, individu yang memiliki sifat usahawan ini tidak menyukai aktiviti sistematik, kemahiran saintifik dan teknikal, intelektual, isu-isu abstrak dan simbolik, kerja yang ditentukan dan diawasi. Antara pekerjaan yang bersesuai dengan individu bersifat usahawan ini seperti pegawai pemasaran, perunding, pengurus, peguam, hakim, pegawai insurans, ahli politik, penerbit, pengarah muzium, pegawai penilai, usahawan, pengurus syarikat, pekerja perhotelan, jurujual pasaran saham, spekulator, pengurus personal. Oleh itu. orang yang bersifat usahawan ini perlu memupuk kecekapan mempengaruhi dan memimpin. Pencapaian dan manipulasi orang lain untuk matlamat peribadi dan organisasi. Ganjaran bernilai keusahawanan dan matlamat (wang, status dan kuasa) dan menggalakkan individu tersebut melihat dunia dari segi kuasa, harta, tanggungjawab, mudah dan stereotaip.

6) Konvensional - orang jenis sistematik (perkerjaan dan organisasi pejabat)
Antara ciri-ciri orang yang jenis sistematik ini memiliki sikap yang jujur, berhemat, kemas, akur, cekap, sopan, teliti, tekun, bersungguh-sungguh, suka mempertahankan diri, pandai sesuaikan diri, tidak suka berimaginasi, mendesak, tegas, praktikal, stereotaip, dominan, disiplin, konservatif, kurang berdikari, terancang, rigid bergantungan. Orang yang memiliki minat terhadap sistematik ini suka kepada arahan, tugas sistematik dan terancang, elak diri daripada masalah, menyusun maklumat, data dan sistem fail. Bekerja dengan data, maklumat dan sistem fail. Namun begitu, individu yang memiliki sifat sistematikl ini tidak menyukai aktiviti tidak bersistem, arahan kabur, isu-isu imaginatif, situasi yang rumit, kemahiran seni, aktiviti-aktiviti kurang pengstrukturan. Antara pekerjaan yang bersesuai dengan individu bersifat konvensional ini seperti akauntan, operator komputer, kerani pos, pustakawan, peguam kredit, pegawai cukai, kerani kewangan, jurutaip, setiausaha, juruaudit, pegawai statistik, pegawai kawalan mutu, juru trengkas, penilai harta, kerani kaunter, guru perdagangan.  Oleh itu. orang yang bersifat konvensional ini perlu memupuk kecekapan mengikut arahan dan perkeranian, Manipulasi data, rekod atau bahan bertulis. Ganjaran bernilai wang, pergantungan dan akur dan menggalakkan individu ini melihat dunia dengan cara konvensional, stereotaip, pergantungan dan mudah

Sumber:

Holland, J.L. Making Of Vocational Choice: A Theory Of Vocational Personality and Work Environment. (Edisi Kedua). Englewood Cliff. New Jersey: Pentice-Hall Inc. 1985.  


Holland, J.L., Whitney, D.R., et al. Dalam Holland, J.L. Making Vocational Choices: A Theory Of Careers. Englewood Cliffs, New Jersey: Prentice-Hall, Inc. 1973.

Laman Kerjaya, Universiti Pendiidikan Sultan Idris Shah 
https://lamankerjaya.blogspot.com/2011/11/pemilihan-kerjaya.html

Comments

Popular posts from this blog

MODUL KESEDIAAN KERJAYA BERDASARKAN TEORI COGNITIVE INFORMATION PROCESSING (CIP)

KERJAYA 'KOLAR BAHARU' DI MALAYSIA

PEMBANGUNAN KERJAYA