ASPIRASI KERJAYA !
Sesuatu aspirasi kerjaya boleh dicapai jika seseorang
pelajar itu mula memahami tentang minat dan keupayaan dirinya serta mempunyai
matlamat yang jelas tentang masa depan. Keadaan ini penting untuk memastikan
seseorang sentiasa fokus dan berada di laluan yang betul dalam mencapai
aspirasi kerjaya. Aspirasi kerjaya ini penting kerana ia merupakan titik
permulaan dalam pemilihan kerjaya seseorang individu dan bakal menentukan masa
depan mereka. Pemilihan kerjaya yang menepati kehendak, minat, bakat, kebolehan
dan kelayakan seseorang bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak dapat dinafikan
bahawa jenis pekerjaan yang dipilih akan mempengaruhi konsep kendiri, nilai,
kesejahteraan dan kepuasan hidup seseorang individu (Raman, 2000).
Menurut Lueptow 1981 di dalam kajian Zakaria & T.
Subahan (1999), aspirasi kerjaya ditakrifkan sebagai pekerjaan yang dikehendaki
oleh seseorang sekiranya diberi kebebasan memilih. Ia merupakan cita-cita
seseorang terhadap sesuatu pekerjaan tanpa mengira halangan-halangan yang
mungkin dihadapinya. Oleh yang demikian, seharusnya kursus atau latihan yang
disediakan di sebuah institusi pengajian bukan sahaja dapat memenuhi kehendak
majikan mahupun industri, malah ia dapat memenuhi aspirasi kerjaya mengikut
tahap kelulusannya dalam bidang pendidikan atau latihan kemahiran. Aspirasi
kerjaya penting kerana ia merupakan satu pembolehubah untuk memahami konsep
kendiri, kerjaya dan ianya berkaitan dengan kelakuan, tanggapan sosial, masa
depan pendidikan, pemilihan kerjaya dan juga pencapaian bagi seseorang individu
(Rojewski, 2005). Minat juga sering dikaitkan dengan aspirasi kerana kedua-dua
perkataan ini membawa maksud yang hampir sama, namun tetap terdapat perbezaan
di antara kedua-duanya. Aspirasi mewakili matlamat individu dalam sesuatu
keadaan manakala minat pula menggambarkan kecenderungan emosi individu itu ke
arah pilihan kerjayanya. Kajian lalu telah berjaya menunjukkan bahawa aspirasi
kerjaya penting kerana ianya mampu meramalkan pencapaian seseorang individu itu
pada masa akan datang.
Kajian yang dijalankan oleh Strong telah menunjukkan
bahawa terdapat kolerasi positif 0.69 di antara aspirasi kerjaya bagi seorang
graduan dengan pencapaian kerjayanya selepas 19 tahun (Rojewski, 2005).
Penyelidik pada hari ini bersetuju bahawa aspirasi kerjaya dan pendidikan pada
peringkat remaja merupakan ramalan yang berguna dan mempengaruhi pilihan
kerjaya dan pendidikan yang dibuat pada peringkat dewasa.
Sumber:
Hamid, N.H., 2012. Aspirasi Kerjaya dalam Kalangan Pelajar Bermasalah
Pendengaran di
Politeknik (Doctoral dissertation, Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia).

Comments
Post a Comment