MODUL KESEDIAAN KERJAYA BERDASARKAN TEORI COGNITIVE INFORMATION PROCESSING (CIP)


Perkembangan  pendidikan  tinggi  dan  kerjaya  dalam  abad  ke-21  ini berkisar tentang  perbincangan   mengenaipengetahuan,  kemahiran  dan  keupayaan graduan  bagi  memenuhi  keperluan  pasaran  pekerjaan.Pendidikan  tinggi adalah  merujuk  kepada  kurikulum  standard  yang  digunapakai  untuk menyediakan  pelajar  dalam  sesuatu  tempoh jangka  masa  latihan  yang menekankan pengetahuan dan sesuatu  kemahiran. Sementara keperluan pasaran  pekerjaan pula dipengaruhi oleh faktor ekonomi, sosial dan persaingan.Akhir-akhir ini telah diakui dan disahkan graduan yang dilahirkan  kurang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh  pasaran pekerjaan (Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, IPPTN, 2003; Ismail, 2012;Ishak Yussof, Ismail Rahmah, & Robiah Sidin, 2008). Isu graduan menganggur dan sedang mencari pekerjaan menjadi hambatan kepada universiti dan pemain industri untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian (Zaini Ujang, 2009).

Teori Cognitive  Information  Processing  (CIP) telah  dibangunkan  melalui  usaha  sama  penyelidik  di  Florida  State University  (FSU)  Career  Center.  Teori  berkaitan  kerjaya  ini  mengukur  bagaimana  individu  terlibat  dalam proses penyelesaian  masalah  kerjaya  dan  membuat  keputusan  kerjaya (Reardon  et  al.,  2011). Teori ini diperkenalkan pada tahun 1991 oleh Peterson, Sampson, dan Reardon (Reardon, Lenz, Sampson, & Peterson, 1996, 2006, 2012). Andaian asas teori ini berasaskan kepada teori kognitif iaitu menekankan aspek penyelesaian masalah dan membuat keputusan kerjaya; memahami kesan positif dan negatif ke atas meta kognitif dalam konteks penyelesaian masalah dan membuat keputusan kerjaya; dan konsep asas bagi reka bentuk interaksi untuk meningkatkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah kerjaya dan membuat keputusan.



Teori  kognitif adalah  berdasarkan  satu  kepercayaan  terbentuk  daripada  pengalaman  lepas  dan  boleh  menjadi tidak berfungsi  jika  rangsangan terganggu  agar  sesuai  dengan  pemikiran  sistematik  seseorang  (Peterson, Sampson, Reardon,  &  Lenz,1996).  Sistem  kepercayaan  yang  dibentuk  ini akan  diterjemah  melalui  perasaan  dan  tingkahlaku. Dalam konteks perkembangan kerjaya, membuat keputusan kerjaya dipengaruhi oleh sistem kepercayaan lepas sama ada positif atau negatif. Teori ini beranggapan penyelesaian masalah kerjaya adalah satu proses yang rasional  dalam konteks  sosial-emosi.  Proses  yang  rasional  bermaksud  seseorang  individu dapat mendefinisikan  kerjaya  melalui proses pembelajaran (Brown, 2007; Peterson et al., 1996; Sampson et al., 2013).Dalam erti kata lain, pendekatan ini merupakan  proses  perkembangan  kerjaya  yang  mengaplikasikan  model membuat  keputusan  kerjaya (Paivandy, Bullock, Reardon, & Kelly, 2008), dengan andaian bahawa setiap  masalah kerjaya  yang  dihadapi boleh diselesaikan melalui  proses  pembelajaran.  Oleh  sebab  itu,  teori  ini  berasaskan  kepada teori  pembelajaran  yang  memberi  fokus kepada pemprosesan maklumat (Brown, 2007). Uniknya teori ini berbanding teori kerjaya lain adalah kerana teori ini memberi fokus kepada kognitif, emosi, pembelajaran, membuat keputusan dan praktis (Reardon et al., 2011). Dalam erti kata lain, penilaian standard diberi perhatian dalam memahami psikologi individu dan pada masa yang sama juga turut menekankan aspek keperluan intervensi.  Kerangka  konsep  CIP  untuk  penyelesaian  masalah  kerjaya  yang dipengaruhi  oleh  gangguan  pemikiran  atau  ketidakfungsian  pemikiran (Bertoch,  Lenz,  Reardon,  &  Peterson,  2013). Peterson  et  al.(1996) mendefinisikan  masalah  kerjaya  sebagai jurang  antara  diri  realistik  dan  diri  ideal  dalam  diri seseorang.  Sementara pemikiran  negatif  pula  didefinisikan  sebagai  hasil  pemikiran  seseorang  tentang  andaian,  sikap, tingkah  laku,  kepercayaan,  perasaan,  perancangan,  atau  strategi  yang  berkaitan  dengan  penyelesaian  masalah  dan membuat keputusan kerjaya.



Sumber:

Mahmud, M.I., Noah, S.M., Ahmad, J. and Ahmad, W.M.W., 2017. Modul Kesediaan Kerjaya Berdasarkan Teori Cognitive Information Processing (CIP). JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 4(3), pp.59-76

Comments

Popular posts from this blog

KERJAYA 'KOLAR BAHARU' DI MALAYSIA

PEMBANGUNAN KERJAYA