CABARAN KERJAYA GOLONGAN KURANG UPAYA
Golongan OKU perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan
menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang kerjaya yang ingin diceburi.
Hal ini memerlukan golongan OKU meningkatkan kualiti dan imej diri, menunjukkan
sikap tanggungjawab, sentiasa merebut peluang untuk maju, tidak mudah
tersinggung dan malu. Golongan ini juga perlu berusaha supaya sentiasa
produktif, berdisiplin, mengikis dan mengubah sikap supaya tidak sentiasa
menyerah kepada takdir dan menunjukkan kemahiran dalam sesuatu bidang yang
dikuasai seperti orang lain. Mereka juga perlu bersikap lebih berani dan
terbuka dalam pemikiran bagi menerima cabaran baru jika ingin meraih kejayaan.
Bidang kerjaya yang diceburi lebih luas iaitu melibatkan semua golongan
masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kumpulan minoriti sahaja.
Sikap ingin bersama-sama rakan senasib harus dikikis. Tahap kepercayaan
keupayaan diri yang gitu harus diterapkan dalam diri setiap golongan bermasalah
ini. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak takut menghadapi setiap cabaran.
Keupayaan dan kebolehan fizikal serta intelek perlu difikirkan bagi menjamin
golongan ini mampu menguasai bidang yang diceburi.
Kemahiran sosial sewajarnya didedahkan kepada golongan
OKU ini supaya mereka dapat menguasai pekerjaan dan tahu berhubung dengan
seluruh warga kerja yang akan berhubungan dengan mereka setiap masa. Kemahiran
sosial yang dapat dimasukkan dalam program latihan dan kemahiran yang mereka sertai untuk meningkatkan
keupayaan mereka berkaitan dengan kemahiran mengikut arahan, menerima kritikan,
meminta bantuan apabila perlu, dapat bekerjasama dengan rakan sekerja dan
kemahiran berinteraksi dengan pelanggan.
Golongan ini juga perlu melibatkan diri dalam masyarakat
bagi meningkatkan tahap kemahiran sosial sebagai persediaan mereka sebelum
memasuki alam pekerjaan. Jika interaksi ini lebih banyak dilakukan, maka mereka
akan lebih mahir dalam proses sosialisasi (Zinaida, 2006). Dalam proses
peralihan ke alam dewasa dan pekerjaan, golongan OKU juga perlu mempunyai
kemahiran, sikap dan motivasi serta keazaman kendiri untuk berjaya serta boleh
melibatkan diri dalam persekitaran sosial yang baik. Kemahiran yang diperolehi
di peringkat rendah seperti sekolah menengah hanyalah kemahiran asas dan
golongan ini masih menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan golongan normal
apabila memasuki peringkat yang lebih tinggi dalam menceburi sesuatu bidang
kerjaya.
Pertambahan bilangan graduan kurang upaya dan telah
mewujudkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Persaingan yang perlu
dihadapi bukan sahaja dalam kalangan OKU malah mereka perlu bersaing dengan
individu normal lain. Lazimnya hanya pekerja atau pelajar yang kompeten dan
mempunyai kemahiran mampu menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Ini bererti
persaingan untuk mendapatkan tempat dalam sesebuah organisasi adalah sengit
disamping perlu bersaing dengan individu normal lain. Namun, masyarakat masih
lagi menunjukkan sikap prajudis terhadap keupayaan mereka dalam bidang kerjaya
walaupun telah memiliki kemahiran di bidang-bidang tertentu. Oleh itu, konsep
masyarakat penyayang perlu direalisasikan agar individu berkeperluan khas ini
diberi peluang berintegrasi dengan ahli komuniti secara positif dan jaminan
kehidupan berkualiti. Terdapat sebahagian daripada orang kurang upaya yang
berminat untuk bekerja makan gaji tetapi berasa bimbang sekiranya mereka tidak
dapat diterima oleh majikan dan komuniti di sekitar tempat kerja tersebut
(Fatimah, 2008). Oleh itu perlu diberikan keyakinan kepada pihak majikan
tentang kebolehan dan keupayaan pekerja kurang upaya dengan menunjukkan
reputasi yang baik setanding dengan pekerja normal yang lain.
Tanpa aspirasi golongan ini mungkin membuat kesilapan
tentang kerjaya mereka. Keadaan ini menyebabkan pelajar masih belum jelas
tentang minat dan aspirasi diri serta kurang pasti akan hala tuju mereka
selepas tamat belajar. Kesilapan memilih kerjaya juga akan mengundang sikap
tidak bersemangat untuk bekerja. Keadaan ini adalah disebabkan oleh minat yang
kurang dalam kerjaya yang dipilih ataupun yang diperolehi. Pemilihan kerjaya
yang menepati kehendak, minat, bakat, kebolehan dan kelayakan seseorang
bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak dapat dinafikan bahawa jenis pekerjaan yang
dipilih akan mempengaruhi konsep kendiri, nilai kesejahteraan dan kepuasan
hidup seseorang individu (Raman, 2000).
Sumber:
Hamid, N.H., 2012. Aspirasi Kerjaya dalam Kalangan Pelajar Bermasalah
Pendengaran di
Politeknik (Doctoral dissertation, Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia).

Comments
Post a Comment